Thursday, February 19, 2015

IBU KAMBING DAN KAMBING BUNTING

Assalamualaikum semua penternak.

Aku beli kambing tua dan juga kambing bunting. Ada sebab mengapa aku pilih ibu kambing dan  juga kambing bunting. Aku mahukan hasil yang cepat. 34 ekor kambing betina yang aku beli, 70 peratus daripadanya adalah ibu kambing dan kambing bunting. Cuma 30 peratus kambing dara. Jadi dalam tempoh 3 bulan menternak kambing, kandang aku dah berjaya mendapat 10 ekor anak. Jika semuanya diizinkan Allah, 6 bulan atau 7 bulan daripada sekarang aku sudah boleh mendapat hasil jualan anak-anak kambing. Aku berjaya singkatkan tempoh tuaian hasil jualan kambing. Idea ini berbaloi. Kurang daripada setahun aku sudah boleh mendapat hasil jualan. Cuma jika aku bercadang untuk menjual kambing bagi ibadah qurban atau aqiqah, aku perlu tunggu sehingga penghujung tahun 2016. 

Peringkat permulaan ini aku bercadang untuk menjual kambing muda, Kambing yang berumur kurang daripada 1 tahun ataupun sudah mencapai berat 25 kg. Kos makanan dapat dijimatkan dan juga kesesakan kandang dapat dielakkan. Dengan keluasan yang sedia ada dan juga kadar kelahiran 50-50, aku menjangkakan kandang aku boleh bertahan sehingga 2 ke 3 tahun tanpa perlu untuk menambah keluasan kandang. Bagi seorang penternak, kos membina kandang amat besar dan boleh membabitkan 70-80 peratus daripada keseluruhan operasi.

Antar anak anak kambing yang lahir setelah 3 bulan operasi.

 Mungkin agak susah untuk mencari jualan ibu kambing ataupun kambing bunting. Tapi kalau kena dengan harganya mungkin tidak susah untuk kita mencarinya. Walaupun ibu kambing yang aku beli sudah beranak 2 atau 3 kali, tapi semua tu kita boleh cover jika ibu kambing tu masih boleh beranak 4 ke 5 kali lagi. Masih boleh untung.

Tidak semua penternak bersetuju dengan idea aku ni, tetapi ini sahaja cara yang agak berkesan untuk aku singkatkan masa penuaian hasil daripada ternakan kambing pedaging. Walaupun modal besar sikit, cash flow kena diutamakan. Bagaimana nak dapatkan cash dalam masa yang singkat. Dengan sistem semi-intensif, sistem gembala, tenakan kambing pedaging boleh memberikan keuntungan yang optimum kepada seorang penternak. Aku kurang pandai dalam bidang ekonomi ni, yang aku faham kalau masuk banyak daripada keluar, itu boleh bagi keuntungan.

Sistem gembala boleh menjimatkan kos makanan

Kepada semua penternak baru, aku ingin nasihatkan, fikir fikirkan strategi anda. Kena rancang segalanya dengan betul betul. Minta nasihat dan pandangan daripada penternak penternak lama. Terjah kandang mereka. Insha Allah usaha anda untuk menternak akan dipermudahkan.

Selamat menternak...


Tuesday, February 3, 2015

SOP DI KANDANG

Assalamualaikum...

Salam kepada semua warga pembiak kambing..sejak akhir akhir ni sibuk sikit dengan kerja kerja aku sampai blog pun tak sempat nak up date. Sekarang ni nak Chinese New Year, so banyak kereta terpakai yang diimport kena clearkan di Port. Maklumlah ramai car dealer nak kejar sale sebelum raya. Pelik betul aku, asal nak raya je semua sibuk nak tukar kereta baru. Kalau tak tukar tak boleh raya ke? Masih tertanya tanya...

Kali ni aku nak cerita sikit tentang SOP yang aku buat kat kandang aku. SOP ni aku buat supaya senang untuk staff aku bekerja dan juga senang untuk aku kawal sebarang masalah yang jadi. Secara umumnya, SOP ni kita perlu adakan supaya setiap orang boleh melakukan sesuatu pekerjaan tanpa perlu dipantau sepenuhnya kerana telah ada panduan panduan yang boleh membantu seseorang tersebut dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

SOP yang pertama, anak kambing. Aku dah pesan kat staff aku supaya ibu dan anak kambing ditempatkan dipetak beranak sampai anak kambing tu berumur 2 minggu. Tapi ibu kambing dibebaskan untuk meragut setelah seminggu lepas beranak. Semasa seminggu tu beri ibu kambing makan rumput yang dipotong. SOP ini akan aku ubah mengikut keperluan kerana sekarang ini kambing kambing aku masih sedikit. Setelah dua minggu anak anak kambing dan ibu kambing akan ditempatkan di petak yang luas dan dicampurkan dengan ibu ibu dan anak anak kambing yang lain. Hanya ibu kambing yang garang sahaja aku asingkan dipetak beranak kerana bimbang akan mencederakan anak anak kambing yang lain.

Anak dan ibu kambing dikurung di dalam petak beranak berasingan selama 2 minggu.




Anak anak kambing diletakkan bersama sama di dalam petak yang lebih besar setelah berumur 2 minggu

SOP yang kedua, kambing kambing aku perlu di lepaskan meragut dan digembala sekurang kurangnya 3 jam sehari. Cuma jika hujan, waktu meragut mungkin berkurangan dan staff aku akan tambah rumput potong bagi menampung rumput yang kurang pada hari itu. Tujuan dilepaskan untuk gembala adalah bagi memberi peluang kepada kambing kambing untuk bersenam dan release stress setelah duduk di dalam kandang. Selain itu staff aku pun tak perlu untuk memotong rumput yang banyak untuk diberikan kepada kambing.

Kambing dilepaskan meragut setiap hari minima 3 jam.
Sentiasa digembala. Tidak dibiarkan sendirian
Buat masa ini kandang aku hanya melepaskan kambing pada waktu petang. Selapas zohor. Jadi pekerja aku boleh gunakan waktu pagi untuk mengambil upah memotong buah sawit, meracun kebun atau upah menebang pisang. SOP ini amat sesuai bagi penternak baru, kerana mereka perlu untuk mencari pendapatan sampingan sementara menunggu anak anak kambing boleh dijual.

SOP ketiga, hanya anak anak kambing yang sudah berumur 3 bulan ke atas dibenarkan untuk mengikut ibunya meragut. Anak anak kambing ni kalau dibiarkan untuk ikut sama meragut akan timbul banyak masalah. Kurang berani untuk melompat parit. Jadi pengembala perlu berikan lebih perhatian untuk anak anak kambing ini. Akan melambatkan pergerakan kumpulan kambing. Jadi anak anak kambing ini perlu di asingkan dan ditinggalkan di kandang semasa ibunya pergi meragut. Suasana agak bising pada mulanya, tapi setelah ibu ibu kambing hilang daripada pandangan akan senyap dan lekalah bermain semula.

Anak kambing yang berumur bawah 3 bulan ditinggalkan semasa ibu kambing meragut.

Cukup dulu buat masa ini. Ini antara perkara asas yang perlu aku tekankan kepada staff aku supaya operasi kandang boleh berjalan dengan lancar walaupun aku tak ada di sana. Semoga SOP ini boleh memudahkan pekerja aku untuk menjalankan tugasan harian bagi membiakkan kambing kambing di kandang aku.

Sekian wassalam.